28 October 2009

27 October 2009

LULUS UJIAN LISAN AKHIR TAHUN 2009


AMMA RAZI (TAHUN 2)


KARENA AMALIYA MASTURA (TAHUN 3)


KERULSEMI (TAHUN 3)


ASRI (TAHUN 4)

25 October 2009

TAHI KELAWAR


Aduhai....nilah masalah yang saya terpaksa hadapi setiap hari. Banyak perabot kelas, buku murid dan kertas-kertas lembaran kerja dihujani tahi kelawar. Saya mengemas kelas setiap pagi dan sebelum pulang kelas. Tapi hasilnya tetap sama.

Masalah ini telah dilaporkan kepada pihak pentadbiran sekolah. Namun belum ada apa perubahan dan pembaharuan dibuat. Sedih juga terpaksa berhadapan dengan masalah bau dan tahi kelawar yang jatuh diatas kepala semasa sedang mengajar.

Cover remote air cond pun bertakung dengan tahi kelawar. Remote air cond saya pun bersarang tahi kelawar. Malahan air cond juga berbau busuk apabila digunakan. Tolonglah saya.....

Bahagian hujung syiling yang menyebabkan rembesan tahi kelawar dari atas bumbung menghujani seluruh kelas saya.

24 October 2009

PROGRAM MENTOR MENTEE EJA DAN BACA


Ini adalah salah satu program kelas pemulihan. Mentor merujuk kepada guru-guru dan Mentee adalah murid-murid pemulihan. Guru berpeluang mengikuti perkembangan bacaan murid dan merekod dalam buku bacaan yang telah disediakan. Semua guru memberi kerjasama yang baik dan berusaha meningkatkan imej dan bacaan mentee mereka.

SAHIBA


Aktiviti sahiba amat menyeronokkan. Murid berpeluang menyusun huruf menjadi perkataan bermakna. Mereka dapat mengenalpasti kesalahan ejaan masing-masing semasa aktiviti dijalankan.


Penerapan nilai murni terutama aspek bekerjasama dan bekerja sebagai satu kumpulan dapat diterapkan. Mereka saling mengeja dan mengingati perkataan dan susunan huruf yang betul. Ganjaran diberikan sebagai peneguhan positif.

22 October 2009

PROGRAM EKONOMI TOKEN


Program Ekonomi Token telah dijalankan pada tahun 2008. Ia adalah salah satu program wajib bagi semua kelas pemulihan seluruh sekolah. Guru pemulihan telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti peneguhan positif untuk murid pemulihan. Ia bergantung kepada perlaksanaan guru pemulihan.

Terdapat pelbagai teknik unutk menjayakan program ini. Saya menetapkan beberapa kriteria yang harus diikuti bagi mendapatkan mata. Mata akan dikumpul setiap bulan dan berpeluang mendapat hadiah yang ditawarkan pada bulan tersebut.

Kriteria haruslah kearah kebaikan dan membentuk sahsiah terpuji dikalangan murid. Antaranya seperti ringan tulang, bekerjasama, ulat buku, tolong menolong, baik hati, dan sebagainya. Penerapan nilai murni mampu membentuk peribadi yang lebih baik. Ganjaran disampaikan oleh Guru Besar.

MODUL LATIHAN DARAB


Modul Latihan ini masih dalam proses. Saya dapati murid mudah menghafal darab tetapi sukar menulis semula jawapan secara rawak. Mereka mudah melengkapkan 'multiplication table' kerana jawapan adalah secara berturutan tetapi mencari-cari jawapan secara manual untuk sesuatu operasi darab.

Modul ini adalah latihan asas dan saya masih lagi mencari pendekatan yang lebih mudah dan sesuai mengikut kemampuan mereka. Latihan ini berbentuk 1digitx1digit, dan 2digitx1digit serta menukar bentuk operasi dari melintang kepada menegak.

MODUL LATIHAN MASA DAN WAKTU



Topik masa dan waktu adalah topik terakhir pembelajaran matematik pemulihan. Kebanyakan murid kerap keliru dengan fungsi minit dan jam. Terdapat sesetengah dari mereka tidak dapat membezakan arah pusingan masa dengan tepat.

Murid diskalkulia pula mengira perbezaan jumlah masa yang diambil dari arah lawan jam. Kadangkala saya tertanya juga bagaimana dia mendapat jawapan sedangkan dia mengira secar mengundur ke belakang. Tetapi saya masih belum mendapat jawapan.

Oleh itu, saya menyediakan modul ini supaya memudahkan saya mengajar pada masa akan datang. Dan bersedia dengan sebarang kemungkinan.

MODUL LATIHAN WANG


Topik wang adalah salah satu topik yang perlu diajar kepada murid pemulihan. Kebanyakkan murid telah berpengalaman mengurus dan mengenali wang dan operasi yang terlibat. Memandangkan saya mendapat peruntukan bahan berbentuk wang kertas dan syiling contoh dan ia melancarkan proses p&p saya.

Modul ini merangkumi teknik mengenali nilai wang dan operasi tambah, tolak, darab dan bahagi. Kebanyakkan latihan adalah rantaian latihan yang dicetak dari buku-buku terpilih termasuk buku teks sekolah.

MODUL LATIHAN TOLAK


Modul latihan tolak dibuat mengikut sukatan pelajaran JPNP. Saya telah mengkategorikan latihan mengikut aras kesukaran murid. Terdapat latihan menolak angka 1 digit-1digit, 2digit-1digit, 2 digit-2digit, 3digit-2digit yang melibatkan kaedah mengumpul semula dan tanpa mengumpul semula.

Murid juga diberi pendedahan menukar kedudukan soalan dari bentuk melintang kepada bentuk menegak. Kesalahan menukar operasi kerap berlaku dan dapat diperbetulkan.

MODUL LATIHAN TAMBAH


Ini adalah bahan modul yang saya buat dan menjadi buku teks dikelas. Kebanyakkan latihan adalah berteraskan kepada sukatan pelajaran JPNP. Hal ini memudahkan saya mencetak latihan yang bersesuaian dengan aras mereka. Saya membuat rujukan kepada buku teks, bahan kursus Etems dan buku-buku rujukan.

KERULASEMI A/L SALLEH





Nama panggilannya adalah Atong. Atong telah keluar kelas pemulihan pada bulan Mac 2009. Setiap kali sampai sahaja ke sekolah, dia akan bertanya saya "Teacher, kelas pemulihan ke?" Belum sempat menjejak kaki, dia nak masuk kelas dah.

Atong talah dinobatkan sebagai murid terbaik kelas pemulihan bulan April. Hal ini adalah pengiktirafan dari lecturer yang observed saya untuk subjek Math (En.Nik Mohamad). Memandangkan prestasi Atong terlalu menonjol sepanjang p&p dijalankan dan memberi respon yang baik. Tn. Hj Nik Harun Aminarrashed juga sangat sukakan Atong. Atong berani berkomunikasi dengannya dan boleh menjawab soalan secara lisan dengan baik.

Namun begitu, Atong mempunyai banyak sejarah kepada sekolah. Tak pelulah saya tulis disini kerana sejarah tersebut pahit dan aib. Tapi bagi kami guru-guru, tidak akan lupakannya. Hehehehe

Saya sentiasa menggalakkan Atong ke kelas saya terutama semasa subjek agama. Saya menfokuskan penulisan bergambar dan pemahaman. Namun begitu, Atong masih tidak melepasi wajaran Matematik dan akan berada bersama lagi pada tahun depan.

HASNUN B RAMAN




Hasnun murid melayu. Dia murid tahun 3. Hasnun telah bersama saya sejak 2007. Saya melihat banyak perubahan positif berlaku kepadanya. Dia amat menepati waktu kelas pemulihan dan tidak pernah ponteng kelas. Dia tahu melihat jam dan menyemak jadual kelas pemulihan.

Hasnun aktif dalam sukan sekolah. Dia juga mewakili sekolah dalam pelbagai aktiviti KO. Dia adalah atlit sekolah. Namun begitu bacaannya tidaklah selaju lariannya di litar lumba. Kini, Hasnun sudah boleh menguasai perkataan aras tinggi. Kadangkala ada kekeliruan sebutan yang melibatkan perkataan vokal/konsonan berganding yang mengandungi 5-7 sukukata dalam satu perkataan.

Subjek matematik amat digemarinya. Namun begitu dia tidak menonjol dalam peperiksaan. Saya berpendapat, dia boleh mengikuti pelajaran saya tetapi tidak dapat mengaplikasi pelajaran semasa peperiksaan. Namun begitu,hasnun sudah boleh belajar ke kelas perdana pada tahun depan.

SHAHRUL AMIN B MUSTAFA






Amin adalah ketua kelas pemulihan. Dia murid tahun 5. Dia bertanggungjawab membuka kelas setiap pagi dan memastikan keadaan kelas yang teratur apabila balik sekolah. Amin seorang yang sangat rajin. Dia berasal dari keluarga yang agak susah dan tinggal di Kg.Serengkam.

Amin adalah murid saya sejak tahun 2007. Saya banyak membuat rujukan kepada guru bahasanya pada waktu itu iaitu Cikgu Bakri. Penyusunan jadual membolehkan Amin belajar dikelas pemulihan dan juga kelas Cikgu Bakri. Namun begitu, Amin masih lagi lemah dari banyak aspek.

Kini, apabila syarat kelas pemulihan melarang mengajar murid tahun 5 saya semakin terhimpit antara tanggungjawab dan harapan untuk memulihkan Amin. Pelaksanaan PROTIM menyebabkan murid tahap 2 adalah dibawah pimpinan guru bahasa mereka. Saya sedar, bebanan guru bahasa meningkat apabila murid pemulihan mengikuti p&p dikelas perdana. Namun begitu saya juga kerap memanggil mereka secara curi-curi tertutama semasa subjek agama ataupun ketika tiada guru dalam kelas. Sekurang-kurangnya adalah sedikit buah tangan dari saya untuk mereka.

MAYUNI A/P AZIZ




Mayuni telah bersama saya sejak 2007. Mayuni adalah murid yang pendiam. Namun begitu, setiap kali p&p, dia akan belajar bersungguh-sungguh. Kesungguhannya itu kadang-kadang menyebabkan dia terlalu yakin ketika melakukan aktiviti penulisan dan operasi matematik.

Perkembangan Mayuni sangat lambat berbanding kawan-kawan dalam kelas tahun 5. Ia tidak mematahkan semangatnya untuk belajar dan dia juga antara yang kerap hadir ke sekolah tetapi dia agak liat ke kelas saya. Dia membandingkan dirinya dengan murid lain dan beranggapan dia lebih pandai membaca. Tidak salah berperasaan begitu, tetapi ia hanya menyebabkan ketidakselesaan kepada kawan-kawan yang lain. Al-maklumlah bahasa murid asli agak kasar apabila bergurau.

2010 adalah tahun UPSR. Mayuni masih lagi lemah membaca bahasa melayu dan mengira. Saya cuba sedaya upaya untuk membantu sekolah mengekalkan prestasi UPSR. Semoga Mayuni mudah mengikuti pelajarannya.

ZUZANI A/P LATIF

Zuzani murid tahun 2. Dia selalu tidak hadir ke sekolah. Dalam seminggu 2 hari sahaja ke sekolah. Bila ditanya, dia tiada alasan. Saya melihat Zuzani adalah murid yang tekun belajar di dalam kelas. Dia sentiasa berusaha mempelajari perkataan yang diajar walaupun selalu ketinggalan.

Saya mengambil Zuzani setelah melakukan semua Ujian kelayakan ke kelas pemulihan. Pada awal kemasukkannya, saya sukar mengajarnya kerana daya ingatannya sangat lemah. Kesemua abjad kecil tidak dapat dipelajari dan diingati dengan baik. Malah susunan huruf juga selalu salah. Setelah hampir 4 bulan bersamanya, saya ada berbincang dengan Ustaz Bahari tentang keadaan dan perkembangan Zuzani. Kami mendapat kata sepakat supaya membawa Zuzani ke klinik berhampiran untuk tujuan pemeriksaan Kesihatan. Doktor memberikan keputusan bahawa Zuzani adalah salah seorang murid lembam dan perlu mendapatkan pembelajaran di kelas pendidikan khas.

Oleh kerana sekolah saya tidak mempunyai Kelas Pendidikan Khas, dia adalah dibawah pengawasan saya. Saya mendidik Zuzani dari abjad sehinggalah boleh membatangkan suku kata. Dari nombor sehinggalah boleh menjawab operasi tambah. Meski perkembangan dia agak lambat berbanding murid kelas perdana tetapi pada saya ia adalah yang terbaik bagi Zuzani yang merupakan murid asli.

21 October 2009

TULISAN TIDAK SEKATA


Ini adalah salah satu contoh murid saya yang sukar menulis menggunakan teknik penulisan yang betul. Pada permulaan pembelajaran lagi dia agak sukar memegang pensel dengan betul. Tanggan dan jari-jemarinya juga sangat keras. Murid ini memang tidak tahu menulis.

Pada awal pembelajaran, saya banyak menfokuskan kepada aktiviti regangan tangan. Aktiviti ini dapat membantu membaiki kontor tangannya yang agak keras. Maklumlah asyik memanjat dan menyumpit sahaja. Saya mempelajari teknik ini dari Pembantu Prasekolah yang telah menghadiri kursus pengamatan pada 2007.

Nasib saya baik kerana dia masih mengingati lagu dan teknik regangan tersebut. Sepanjang lagu dinyanyikan bersama, murid perlu menggerakkan bahagian tangan mereka termasuk lengan, siku, pergelangan tangan, jari jemari dan tangan kiri-tangan kanan.

18 October 2009

.....ALHAMDULILLAH......




Pada bulan lepas, saya telah berjaya menamatkan Kursus Perguruan Lepasa Ijazah dengan jayanya. Insyaallah, semoga semua ilmu yang dipelajari dapat diaplikasi sebaiknya di SK Serengkam. Maklumlah, Ilmu tanpa amal tidak berguna umpama pokok yang tidak berbuah.

Saya juga sentiasa berdoa semoga semangat saya tidak hanya tamat setelah berjaya menggenggam Diploma Perguruan sahaja. Saya tidak mahu layu sendirian dan akan sentiasa muhasabah diri dan memperbaiki diri. Meskipun menjadi Guru Pemulihan Khas bukanlah satu impian saya suatu ketika dahulu tetapi sekarang saya sangat cintakan bidang ini.

Saya adalah graduan yang bukan memilih kerjaya guru kerana menganggur atau tidak memiliki perkerjaan. Tetapi saya hanya mengambil peluang setiap kali peperiksaan KPLI/ tawaran DPLI dan menghadiri temuduga. Dan saya juga bukanlah graduan murahan.

Meskipun kerjaya guru pemulihan dilihat enteng oleh sesetengah pihak berbanding guru arus perdana, tetapi saya yakin dengan kebolehan saya. Jika diberi peluang mengajar matapelajaran PPSMI mungkin penguasaan saya lebih baik dari guru-guru yang dipaksa mengajar dan mengahadiri pelbagai kursus Jabatan dan kementerian. Jangan marah ye.

Tapi itu tidak mengapa, saya juga sentiasa bersedia dan membantu guru-guru di sekolah dari pelbagai aspek bahasa, penyebutan dan sebagainya. Kami memang rapat dan sentiasa bersikap terbuka. Oleh itu, semua kerja telah menjadi mudah.

Menjadi Guru Pemulihan SK Serengkam untuk tempoh 5-10 tahun akan datang telah saya sematkan dalam hati. Belum tentu peluang ini saya dapat jika berpindah ke sekolah lain. Jika tidak, saya hanya boleh mengajar Bahasa Melayu atau Mathematics sahaja. Sedangkan matapelajaran pemulihan telah sebati dengan saya.

Tamat KPLI, saya menanam azam untuk terus sambung Master 2010. Insya Allah, saya fokus kepada pemulihan ataupun Pendidikan Khas. Dua bidang ini berbeza tetapi saling berkaitan. Saya tidak merancang untuk sebarang kepentingan tetapi hanya untuk kepuasan diri. Setidak-tidaknya saya berpeluang menaiktaraf diri di usia muda ini. Semoga peluang 10tahun akan datang lebih cerah dan memberi rezeki berlipat ganda. Amin

KOLAM IKAN SAYA



Inilah kolam ikan yang saya ceritakan di Maktab. Untuk pengetahuan sahabat-sahabat, kolam ikan mengandungi pelbagai ikan dan dibezakan dengan pelbagai warna dan saiz. Pada badan ikan mengandungi perkataan mengikut aras rendah, sederhana dan aras tinggi. Anak-anak ikan pula mewakili abjad supaya murid boleh memancing kad ikan abjad dan munyusun kad tersebut menjadi perkataan bermakna.

Proses ini membantu memberi pengukuhan kepada murid pemulihan tentang turutan huruf yang betul dan tepat dalam sesuatu perkataan. Terdapat pelbagai cara yang boleh digunakan sepanjang melaksanakan aktiviti ini. Guru sebutkan perkataan, eja, baca dan murid ikut. Setiap murid berpeluang memancing kad abjad secara individu.

Guru tetapkan masa untuk memadankan setiap kad abjad dan markah bonus diberikan kepada murid yang berjaya melengkapkan kad abjad dalam tempoh yang singkat. Murid yang berjaya berpeluang mendapat ganjaran relia dengan memancing kad yang mengandungi perkataan pula. Lakukan pengulangan aktiviti berdasarkan perkataan-perkataan dari aras yang sama.

Memandangkan kolam saya yang kecil sahaja, biasanya aktiviti boleh melibatkan 2-4 orang murid. Pancing juga telah dibekalkan oleh murid pemulihan saya. Saya merekabentuk kolam dan batu-batuan yang diperbuat daripada mampatan kertas surat khabar yang telah diwarnakan menggunakan cat hitam dan coklat.

Ikan-ikan pula diperbuat daripada kad manilakad dan mengandungi lubang pada ekor atau mulut. Terdapat juga ikan yang sengaja tidak cukup sifat supaya menjadi halangan kepada anak murid memilih dan memadankan kad-kad tersebut. Hehehe.

Aktiviti ini sangat menyeronokkan. Ia boleh diterapkan semasa langkah ke-2/3 semasa proses pembelajaran dan pengajaran dijalankan. Memandangkan kebanyakan anak murid saya dari golongan pribumi, aktiviti ini adalah permainan yang dekat dihati mereka. Ia boleh dikaitkan dengan nilai kontekstual murid. Oleh itu, sebagai guru, kita dapat mengenalpasti potensi dan minat murid melalui pemerhatian.

Kebanyakan murid amat berkebolehan apabila bakat mereka diasah dan ditonjolkan secara spontan. Namun ada juga yang kurang berminat kepada aktiviti bercorak permainan dan hanya meminta lembaran kerja sahaja. Bergantung pada guru untuk menarik minat murid bagi tempoh 60 minit bersama mereka, jika tidak...masa akan terus berlalu dengan kekosongan dan kebosanan.

Oklah, Selamat mencuba.

16 October 2009

TRAGEDI OKTOBER

Pada bulan lepas, saya telah mengikuti kursus selama 1 bulan di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Dato' Razali Ismail. Semester terakhir sarat lagi dengan pelbagai kelas, tugasan, peperiksaan, dan KISSM. Semuanya terpaksa diharungi sepanjang Ramadhan. Keadaan ini menyebabkan saya terpaksa berjauhan dengan anak murid tersayang.

Risau juga bila memikirkan terpaksa mengulangi semula pelajaran lepas apabila kembali ke sekolah. Tapi itulah hakikatnya menjadi guru pemulihan. Saban tahun apabila menjelang cuti sekolah, keadaan yang sama terjadi. Kalau cuti sabtu ahad pun saya terpaksa berhadapan saat-saat seperti kembali sekolah di awal tahun. Lupa, alpa, tak ingat, malas, dan macam-macam alasan diberikan.

Peperiksaan P3 juga telah beralu. Saya tidak sempat mengutip semula kertas peperiksaan murid. Saya cuma dapat analisis peperiksaan yang kurang menggembirakan. Terdapat beberapa murid tahun 2 yang tidak menunjukkan peningkatan. Keadaan masih sama sedangkan saya telahpun menganalisis bentuk soalan yang sangat mudah dari ujian P1 dan P2.

Saya mencipta bentuk2 soalan yang hampir sama, mencetak, membuat latihan berulang kali dan membuat ulangkaji di kelas pemulihan. Mereka boleh menjawab dengan baik di kelas pemulihan tetapi masih melakukan kesalahan pada hari peperiksaan. Saya rasa amat kecewa. Saya sentiasa berharap perubahan terbaik untuk mereka. Mengeluh sendirian tidak membawa manfaat buat saya.

Meskipun begitu, saya masih berbangga dengan Asmieza dan Zuzani yang sentiasa mengira dengan betul sepanjang aktiviti menambah nombor tanpa mengumpul semula. Asmieza dan Zuzani adalah murid saya yang hanya datang 1/2 hari sahaja dalam seminggu. Walaupun telah mencecah penghujung tahun, tetapi saya rasa mereka masih berupaya mengingati pelajaran saya dan menjawab dengan baik setiap latihan diberi berbanding Syafiqah, Amma dan Syafatin.

Murid tahun 3 juga ada yang menunjukkan peningkatan. Hasnun telah lancar membaca. Dia boleh membatangkan sukukata dan membaca dengan intonasi yang betul. Kini saya menumpukan kepada penulisan bergambar, tanda baca, menyusun ayat serta bacaan dan pemahaman. Noraziedah pula, sehinga ke hari ini saya tidak berkesempatan berjumpa dengannya lagi. Dia masih lagi bercuti dan tidak hadir ke sekolah. Saya juga tidak pasti samada dia masih di sini atau bercuti di kampung. Apabila bertanya pada kawan-kawan, dia memberi alasan saya tiada di sekolah. Oleh itu, dia tidak berminat ke sekolah lagi. Saya harap dapat berjumpa dia sebelum P4 nanti.

Marina pula lain cerita. Dia ke sekolah tetapi enggan ke kelas. Saya dapat tahu dia belajar matematik dengan Ustaz Nasir. Pada saya,Marina ada simptom2 diskalkulia. Kadang-kadang dia trauma melihat operasi tambah dan tolak. Meski saya memberi latihan tambah,tetapi dia mencampur aduk jawapan tambah dan tolak dalam satu soalan tersebut. Kawan-kawan pula ada yang mentertawakan dia walhal sebenarnya satu kelas saya tu sama je arasnya. Sekarang saya mengumpan Marina dengan senyuman dan kata-kata manis. Alhamdulillah, minggu ini sahaja dah 2 kali dia masuk ke kelas tanpa paksaan saya.

Murid tahun 4,5,6 pula masih bergantung pada saya. Saya pun tidak tahu dimana silap saya sehingga mereka tidak dapat berdikari dan percaya kepada kebolehan masing-masing. Meski murid tahun 4 sudah boleh membaca dan telah keluar kelas pemulihan, tetapi mereka masih lagi dalam kategori lemah di kelompok arus perdana. Saya telah pun berbesar hati untuk membimbing mereka menjawab soalan penulisan.

Saya telah berbincang dengan Guru BM iaitu Sir Shahril dan juga mencetak pelbagai bahan sebagai modul pembelajaran mereka. Namun seolah-olah usaha saya menempa kegagalan sahaja. Bayangkan dari bulan Jun saya bekerja keras memastikan mereka menguasai aspek penulisan tetapi hasil tetap sama dan lebih teruk dari menghadiri kelas saya. Harapan saya musnah. Saya rasa amat kecewa. Sampai bila saya terpaksa menanggung mereka?

Secara kesimpulannya, saya bermuhasabah diri bahawa apabila murid berjaya, kita rasa bangga sekurang-kurangnya kita adalah sebahagian dari kejayaan mereka. Dan apabila murid gagal, kita rasa kecewa dan menyalahkan diri sendiri sedangkan murid tersebut belum lagi matang dan tidak berusaha ke arah matlamat pelajaran mereka. Tetapi, kita juga sebahagian dari kegagalan itu jika kita tidak bangun membaiki kesilapan. Saya adalah guru pemulihan. Kelas saya tidak akan tutup meski saya berjaya memulihkan mereka dari aspek 3M. Saya akan berusaha supaya mereka juga menguasai pembelajaran di kelas perdana. InsyaAllah.

11 October 2009

N.SYAFIQAH




Syafiqah murid tahun 2. Dia baru berpindah ke SK Serengkam pada pertengahan tahun 2009. Jika sebelum ini dia bukanlah murid pemulihan tetapi setelah mendapat respon dari guru bahasa, guru kelas, dan guru matematik, saya pun melakukan ujian pemulihan kepadanya.

Berdasarkan pemerhatian saya, dia memiliki tulisan yang kemas dan cantik tetapi agak lemah aspek bacaan terutama perkataan beraras tinggi dan pemahaman soalan. Syafiqah murid yang pendiam dan tidak menyusahkan saya. Namun begitu dia kerap cuai menjawab soalan pemahaman dan operasi matematik.

Kecuaiannya bukan sahaja di kelas saya malah semasa menjawab ujian P1,P2 dan P3. Saya kerap menyemak semula kertas peperiksaannya dan amatlah kecewa apabila kesilapan sering berlaku kepada soalan-soalan mudah. Sedangkan bentuk soalan tersebut telah diajar dalam kelas dan dibuat latih tubi berulangkali supaya mahir menjawab soalan dalam ujian kelak. Nampaknya tahun depan, dia akan masih bersama saya lagi.