Showing posts with label DISLEKSIA. Show all posts
Showing posts with label DISLEKSIA. Show all posts

21 October 2009

TULISAN TIDAK SEKATA


Ini adalah salah satu contoh murid saya yang sukar menulis menggunakan teknik penulisan yang betul. Pada permulaan pembelajaran lagi dia agak sukar memegang pensel dengan betul. Tanggan dan jari-jemarinya juga sangat keras. Murid ini memang tidak tahu menulis.

Pada awal pembelajaran, saya banyak menfokuskan kepada aktiviti regangan tangan. Aktiviti ini dapat membantu membaiki kontor tangannya yang agak keras. Maklumlah asyik memanjat dan menyumpit sahaja. Saya mempelajari teknik ini dari Pembantu Prasekolah yang telah menghadiri kursus pengamatan pada 2007.

Nasib saya baik kerana dia masih mengingati lagu dan teknik regangan tersebut. Sepanjang lagu dinyanyikan bersama, murid perlu menggerakkan bahagian tangan mereka termasuk lengan, siku, pergelangan tangan, jari jemari dan tangan kiri-tangan kanan.

21 September 2009

TULISAN CANTIK


Ini pula adalah salah satu contoh penulisan murid yang telah dipulihkan. Meski terdapat juga sedikit kekurangan namun pada saya ia telah menunjukkan prestasi yang memberansangkan berbanding semasa mendaftar ke kelas pemulihan.

Setelah hampir 3 tahun mengajar pemulihan, saya berpendapat, bagi tempoh 4-5 bulan di kelas pemulihan, murid lebih mudah diuruskan. penulisan mereka pula sudah dibaiki dan lebih kemas berbanding sebelumnya. Murid tahu kedudukan mata pensel, buku dan posisi tubuh semasa menulis. Pada tempoh ini kebanyakkan kesalahan penulisan adalah keliru menulis huruf basar dan huruf kecil dalam sesuatu perkataan.

Murid kerap bertanya tentang huruf di tengah perkataan yang perlu ditulis huruf besar atau pun huruf kecil. Memandangkan murid pemulihan memang akan kerap mengulang semula soalan mereka walaupun telah diberi peringatan dan pelbagai pengukuhan tetapi saya tetap akan menerangkan semula kedudukan sebenar setiap huruf dalam perkataan.

Masalah mengingat bukan sekadar pada bacaan malah kadangkala seperti satu tabiat dalam diri mereka yang kurang fokus apabila diajar di dalam kelas. Mengulangi pelajaran adalah perkara biasa yang telah dilakukan. Dan ia memerlukan kesabaran yang tinggi.

01 September 2009

BINA AYAT



Masalah menulis juga terjadi semasa aktiviti membina ayat. Apabila penulisan tanpa sebarang rujukan, murid akan hilang pegangan. Mereka akan mula keliru menulis dengan betul dan kembali seperti penulisan norma mereka.

Namun begitu, binaan ayat mereka masih boleh dibaca dan difahami.

23 August 2009

KELIRU M dan W


Murid ini memang keliru huruf m dan w. Penulisannya juga kerap berubah-ubah dan kadangkala ia tidak berlaku. Aktiviti mengecop abjad adalah salah satu pembelajaran untuk membezakan huruf-huruf dalam sesuatu perkataan. Semasa aktiviti ini berlangsung, saya bertindak sebagai pemerhati dan membiarkan murid mengambil masa memilih huruf yang betul. Keadaan ini turut terjadi dan dia hanya menyedari kesalahan tersebut apabila ditegur oleh guru dan rakan-rakan.

Aktiviti pemulihan murid ini ialah saya meletakkan kad abjad m dan w di hadapan meja sebagai rujukannya. kami juga akan bermain lakaran pada belakang tubuh dan meneka abjad tersebut. Mencari huruf m dan w di dalam kelas serta membentuk abjad menggunakan beras dan biji sagu.

03 August 2009

HURUF KECIL DAN HURUF BESAR BERCAMPUR


Masalah penulisan huruf kecil dan huruf besar memang sering berlaku dan tidak dapat dielakkan. Kebanyakan murid yang telah lancar membaca kerap mengalami masalah ini. Kebiasaan mereka sudah mula berminat membaca buku dan pelbagai bahan bacaan lain.

Apabila minda mereka telah terbuka, penguasaan bahasa mereka juga semakin berkembang. Oleh itu, mereka akan kerap menguasai perkataan baru dan sukar membezakan penanda wacana yang sesuai bagi sesuatu ayat.

08 July 2009

BELAJAR MENULIS


Murid ini baru belajar menulis. Dia menulis perkataan berdasarkan kepada sebutan hariannya. Meski perkataan kvkkvk telah dipelajari tetapi dia masih gagal mengaplikasi pembelajaran semasa menulis.

05 June 2009

PENGAMATAN MATA


Ini adalah salah satu contoh penulisan murid pemulihan saya juga. Ini adalah salah satu aktiviti ejaan di dalam kelas bagi topik kv+kvk. Murid ini boleh membaca dengan baik setiap perkataan yang dipelajari dan mencantumkan kad suku kata menjadi perkataan bermakna. Namun, apabila aktiviti penulisan pula dia masih gagal menulis mengikut arah yang betul.

Setiap kali aktiviti penulisan dijalankan, saya akan fokus kepada murid ini terlebih dahulu untuk menunjukkan arah garisan yang betul, menulis tarikh dan hari yang tepat pada kedudukan buku. Namun, kadang kala berlaku juga kecuaian jika saya alpa menguruskan murid lain.

Sekarang, Alhamdulillah. Murid ini telah boleh menulis dengan baik dan tulisannya juga sangat kemas. Dia juga boleh membaca dengan intonasi yang baik sekali. Saya telah mengeluarkannya dari kelas Pemulihan setelah hampir 5 bulan bersama saya.

20 May 2009

PENULISAN


Aktiviti membaca dan mengingati semula ayat yang dibaca adalah salah satu aktiviti di Kelas Pemulihan. Saya membimbing murid membaca dan menulis semula petikan yang dibaca dengan betul. Bagi murid pemulihan, aktiviti ini agak mencabar kerana mereka bukan sahaja mengeja setiap perkataan dalam petikan malah terpaksa mengingati setiap perkataan dalam ayat.

Murid ini gagal menulis dengan baik walaupun dapat membaca bahan yang diberi dengan betul dan tepat. Pada awalnya saya terkejut semasa menyemak bukunya. Lantas saya memanggil murid ini dan menyuruhnya membaca hasil penulisan tersebut dihadapan saya. Apabila merenung lama petikan cerita anggur ini, barulah dia sedar bahawa dia telah salah menulis. Dia memberitahu pada saya yang dia sukar membaca tulisannya berbanding teks yang saya beri.


Apabila cuba memadam tulisannya barulah saya sedar yang murid ini ada ciri-ciri disleksia melalui kesukaran pengamatan mata. Saya mengulangkaji semula nota-nota kursus yang pernah dihadiri di PPD dan JPNP. Murid ini telah saya bimbing menulis dihadapan cermin secara latih tubi. Saya memulakan aktiviti menulis dari huruf abjad sehinggalah cantuman huruf membentuk perkataan.

Meski dia lancar membaca tetapi gagal menulis dengan baik, ia telah mengambil masa yang agak lama untuk diberi pemulihan. Buku garis empat telah digunakan dan beransur-ansur dilatih menulis menggunakan buku garis 1.