16 October 2009

TRAGEDI OKTOBER

Pada bulan lepas, saya telah mengikuti kursus selama 1 bulan di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Dato' Razali Ismail. Semester terakhir sarat lagi dengan pelbagai kelas, tugasan, peperiksaan, dan KISSM. Semuanya terpaksa diharungi sepanjang Ramadhan. Keadaan ini menyebabkan saya terpaksa berjauhan dengan anak murid tersayang.

Risau juga bila memikirkan terpaksa mengulangi semula pelajaran lepas apabila kembali ke sekolah. Tapi itulah hakikatnya menjadi guru pemulihan. Saban tahun apabila menjelang cuti sekolah, keadaan yang sama terjadi. Kalau cuti sabtu ahad pun saya terpaksa berhadapan saat-saat seperti kembali sekolah di awal tahun. Lupa, alpa, tak ingat, malas, dan macam-macam alasan diberikan.

Peperiksaan P3 juga telah beralu. Saya tidak sempat mengutip semula kertas peperiksaan murid. Saya cuma dapat analisis peperiksaan yang kurang menggembirakan. Terdapat beberapa murid tahun 2 yang tidak menunjukkan peningkatan. Keadaan masih sama sedangkan saya telahpun menganalisis bentuk soalan yang sangat mudah dari ujian P1 dan P2.

Saya mencipta bentuk2 soalan yang hampir sama, mencetak, membuat latihan berulang kali dan membuat ulangkaji di kelas pemulihan. Mereka boleh menjawab dengan baik di kelas pemulihan tetapi masih melakukan kesalahan pada hari peperiksaan. Saya rasa amat kecewa. Saya sentiasa berharap perubahan terbaik untuk mereka. Mengeluh sendirian tidak membawa manfaat buat saya.

Meskipun begitu, saya masih berbangga dengan Asmieza dan Zuzani yang sentiasa mengira dengan betul sepanjang aktiviti menambah nombor tanpa mengumpul semula. Asmieza dan Zuzani adalah murid saya yang hanya datang 1/2 hari sahaja dalam seminggu. Walaupun telah mencecah penghujung tahun, tetapi saya rasa mereka masih berupaya mengingati pelajaran saya dan menjawab dengan baik setiap latihan diberi berbanding Syafiqah, Amma dan Syafatin.

Murid tahun 3 juga ada yang menunjukkan peningkatan. Hasnun telah lancar membaca. Dia boleh membatangkan sukukata dan membaca dengan intonasi yang betul. Kini saya menumpukan kepada penulisan bergambar, tanda baca, menyusun ayat serta bacaan dan pemahaman. Noraziedah pula, sehinga ke hari ini saya tidak berkesempatan berjumpa dengannya lagi. Dia masih lagi bercuti dan tidak hadir ke sekolah. Saya juga tidak pasti samada dia masih di sini atau bercuti di kampung. Apabila bertanya pada kawan-kawan, dia memberi alasan saya tiada di sekolah. Oleh itu, dia tidak berminat ke sekolah lagi. Saya harap dapat berjumpa dia sebelum P4 nanti.

Marina pula lain cerita. Dia ke sekolah tetapi enggan ke kelas. Saya dapat tahu dia belajar matematik dengan Ustaz Nasir. Pada saya,Marina ada simptom2 diskalkulia. Kadang-kadang dia trauma melihat operasi tambah dan tolak. Meski saya memberi latihan tambah,tetapi dia mencampur aduk jawapan tambah dan tolak dalam satu soalan tersebut. Kawan-kawan pula ada yang mentertawakan dia walhal sebenarnya satu kelas saya tu sama je arasnya. Sekarang saya mengumpan Marina dengan senyuman dan kata-kata manis. Alhamdulillah, minggu ini sahaja dah 2 kali dia masuk ke kelas tanpa paksaan saya.

Murid tahun 4,5,6 pula masih bergantung pada saya. Saya pun tidak tahu dimana silap saya sehingga mereka tidak dapat berdikari dan percaya kepada kebolehan masing-masing. Meski murid tahun 4 sudah boleh membaca dan telah keluar kelas pemulihan, tetapi mereka masih lagi dalam kategori lemah di kelompok arus perdana. Saya telah pun berbesar hati untuk membimbing mereka menjawab soalan penulisan.

Saya telah berbincang dengan Guru BM iaitu Sir Shahril dan juga mencetak pelbagai bahan sebagai modul pembelajaran mereka. Namun seolah-olah usaha saya menempa kegagalan sahaja. Bayangkan dari bulan Jun saya bekerja keras memastikan mereka menguasai aspek penulisan tetapi hasil tetap sama dan lebih teruk dari menghadiri kelas saya. Harapan saya musnah. Saya rasa amat kecewa. Sampai bila saya terpaksa menanggung mereka?

Secara kesimpulannya, saya bermuhasabah diri bahawa apabila murid berjaya, kita rasa bangga sekurang-kurangnya kita adalah sebahagian dari kejayaan mereka. Dan apabila murid gagal, kita rasa kecewa dan menyalahkan diri sendiri sedangkan murid tersebut belum lagi matang dan tidak berusaha ke arah matlamat pelajaran mereka. Tetapi, kita juga sebahagian dari kegagalan itu jika kita tidak bangun membaiki kesilapan. Saya adalah guru pemulihan. Kelas saya tidak akan tutup meski saya berjaya memulihkan mereka dari aspek 3M. Saya akan berusaha supaya mereka juga menguasai pembelajaran di kelas perdana. InsyaAllah.

No comments: